PETRONAS CUBPRIX DILULUSKAN UNTUK BERLANGSUNG DI SIC PADA 18 – 24 DISEMBER 2020 MENYUNTIK SEMANGAT S

Rabu, 16 Disember 2020 – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ingin berterima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah memberi kelulusan untuk meneruskan penganjuran sukan permotoran 2-roda tempatan, PETRONAS Cubprix secara tertutup bermula 18 hingga 24 Disember 2020 di SIC.

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berbahagia Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa memperjuangkan industri sukan dan mengambil berat tentang perkembangan isu semasa sukan negara. Dengan itu, usaha untuk membangkitkan semula acara sukan dengan bersyarat diberi fokus utama.

Aktiviti sukan permotoran yang dibenarkan di SIC adalah seperti mana yang tertakluk kepada kesesuaian semasa yang telah dinasihatkan pihak berwajib iaitu KBS, MKN, dan KKM.

Diharap dengan kelulusan yang telah diberi dapat memberi nafas lega kepada industri sukan permotoran terutamanya penganjur dan atlet perlumbaan PETRONAS Cubprix. Justeru memberi sinar untuk acara sukan permotoran yang lain juga dapat dijalankan dalam masa terdekat setelah terkesan ekoran impak pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 ini.

Sebagai salah satu peneraju sukan permotoran yang bertanggungjawab, SIC amat menitik beratkan keselamatan pekerja, pelumba, pasukan serta mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam. Demi memastikan acara berjalan dengan lancar, SIC dan penganjur telah mengeluarkan SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, “Bagi pihak SIC, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KBS, MKN dan KKM kerana memberi kelulusan untuk perlumbaan tempatan dijalankan bermula dengan perlumbaan PETRONAS Cubprix. Kami harap semoga semua yang terlibat dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Ini merupakan satu berita yang baik untuk industri sukan permotoran dan diharap perkara tersebut dapat dilanjutkan di masa akan datang”.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pegawai Perhubungan Awam & Komunikasi SIC, Akil Mansiz di akil.amin@sepangcircuit.com