JUARA KESELURUHAN KEJOHANAN SIC MINIGP AKAN MENDAPAT TEMPAT DI IDEMITSU ASIA TALENT CUP 2021

Jumaat, 18 Disember 2020 – Setelah hampir tiga bulan tidak beraksi ekoran pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kepada penangguhan dan pembatalan aktiviti perlumbaan sukan permotoran, akhirnya pelumba-pelumba cilik akan kembali bersaing untuk Kejohanan SIC MiniGP Pusingan 3 dan 4 yang akan berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) pada Sabtu, 19 Disember dan Ahad, 20 Disember ini.

Pusingan terakhir Kejohanan SIC MiniGP akan terus berjalan bagi memastikan baki perlumbaan dapat dihabiskan pada tahun 2020 dimana juara keseluruhan kategori 160cc pada minggu ini akan mendapat tempat secara automatik untuk berlumba di Idemitsu Asia Talent Cup musim ke-8 pada tahun 2021.

Sehubungan dengan itu, ia dapat menyuntik semangat pelumba-pelumba muda kejohanan SIC MiniGP untuk bersaing dengan lebih kompetitif supaya mendapat peluang beraksi di pentas Idemitsu Asia Talent Cup.

Hakim Danish selesa menduduki kedudukan teratas bagi kategori 160cc dengan 100 mata dalam carta keseluruhan setakat Pusingan 2 diikuti Irfan Haykal di tempat kedua dengan 63 mata dan Farres Putra di tempat ketiga dengan 60 mata. Bagi kategori 110cc pula, Qabil Irfan mendahului dengan 100 mata manakala Adie Putra di tempat kedua dengan 56 mata dan Adam Daniel di tempat ketiga dengan 54 mata.

Seiring dengan “Impian Ke MotoGP™”, program akar umbi ini merupakan satu inisiatif daripada pihak Sepang International Circuit (SIC) untuk mencari pelapis dan mengasah bakat baru pelumba Malaysia yang bertaraf dunia bagi membuka peluang untuk beraksi di kejohanan antarabangsa dalam sukan permotoran dua roda seperti MotoGP™.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, “Kejohanan SIC MiniGP edisi pertama melakar satu kejayaan buat program akar umbi. Walaupun kita mempunyai cabaran dengan pandemik Covid-19, namun ia tidak menjadi penghalang untuk pelumbapelumba cilik mempamerkan prestasi yang baik di dalam dan luar litar. Saya yakin program ini akan melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia di masa akan datang. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Razlan Razali, mantan Ketua Pegawai Eksekutif SIC
yang menjadi penggerak utama kewujudan program ini dan sentiasa memberi sokongan yang berterusan dalam mencungkil bakat baru untuk dibawa ke peringkat seterusnya”.

“Jutaan terima kasih juga kepada YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, serta warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas usaha dan kerjasama yang diberikan untuk mengaktifkan semula sukan permotoran di Malaysia.”.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi SIC MiniGP di sicminigp@zkracing.com.my