HAKIM DANISH DINOBATKAN JUARA KESELURUHAN KEJOHANAN SIC MINIGP 2020 DAN TERUS MARA KE IDEMITSU ASIA

Ahad, 20 Disember 2020 – Muhammad Hakim Danish bin Ramli dan Qabil Irfan bin Azlan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan SIC MiniGP bagi kategori 160cc dan 110cc, seterusnya menutup tirai Kejohanan SIC MiniGP bagi tahun 2020 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Kart Sepang (SIKC) pada hari ini.

Hakim Danish menyandang gelaran juara bagi kategori 160cc sekaligus menempatkan beliau di kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup 2021. Beliau akan bersaing di peringkat antarabangsa dengan pelumba-pelumba Asia seperti Jepun, Indonesia, Thailand dan lain-lain. Manakala bagi kategori 110cc pula disandang oleh Qabil Irfan, yang merupakan pelumba cilik yang termuda dalam kejohanan ini.

Berikutan keadaan pandemik COVID-19, kejohanan SIC MiniGP yang pada mulanya dijadualkan sebanyak 5 pusingan dan 12 perlumbaan terpaksa dipendekkan kepada 4 pusingan. Kejohanan SIC MiniGP Pusingan 3 & 4 ini telah dijalankan secara tertutup dan tanpa kehadiran penonton bagi memastikan risiko jangkitan wabak Covid-19 dapat dielakkan.

Pada sesi kelayakan Pusingan 3 yang berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik, Qabil Irfan telah memecahkan rekod terpantas kategori 110cc dengan catatan masa terbaru 57.848 saat dengan perbezaan masa 0.491 saat dari rekod sebelumnya. Rekod pusingan terpantas yang dipegang oleh Irfan Haykal bagi kategori 160cc pula telah berjaya dipecahkan oleh Hakim Danish dengan catatan terpantas 55.127 saat, dengan perbezaan sebanyak 0.514 saat.

Dengan permulaan dipetak hadapan semasa Pusingan 3, kedua-dua pelumba, Qabil Irfan dan Hakim Danish mengukuhkan lagi kedudukan mereka ditempat pertama dari awal sehingga tamat perlumbaan. Namun, pertaruhan untuk merebut kedudukan keseluruhan ke-2 masih terbuka dan dibawa ke pusingan terakhir. Kategori 110cc menyaksikan persaingan sengit antara Adie Putra dan Adam Danial untuk merebut keseluruhan tempat ke-2 manakala di dalam kategori 160cc pula menyaksikan saingan antara Farres Putra dan Irfan Haykal.

Pusingan 4 yang berlangsung hari ini sekali lagi menyaksikan Qabil Irfan & Hakim Danish mendahului perlumbaan dan mencipta rekod peribadi dengan kemenangan secara berturutturut sebanyak 8 perlumbaan bagi kedua-dua kategori. Kategori 110cc menyaksikan Qabil Irfan mengakhiri musim 2020 dengan 200 mata dengan catatan masa terpantas 58.030 saat, diikuti Adie Putra di tempat ke-2 dengan 129 mata dan Adam Danial dengan 109 mata di
tempat ke-3. Bagi kategori 160cc, Hakim Danish mengakhiri perlumbaan dengan catatan masa terpantas 55.586 saat dengan 200 mata keseluruhan. Tempat ke-2 juara keseluruhan dimenangi Irfan Haykal dengan 109 mata dan Farres Putra di tempat ke-3 dengan 102 mata.

Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) berkata, “Ini merupakan tahun pertama program akar umbi seumpama ini diadakan di Malaysia dan kita telah berjaya mencungkil bakat seawal umur 8 tahun. Saya percaya lebih banyak bakat pelumba-pelumba cilik akan dicungkil melalui program ini untuk tahun-tahun yang akan datang dan kami akan memastikan lebih banyak peningkatan akan dilakukan untuk tahun
depan dan seterusnya. Dengan adanya program ini, kita akan memastikan kesinambungan pelapis-pelapis pelumba untuk mara ke peringkat antarabangsa. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga DORNA Sports S.L, sebagai penganjur Asia Talent Cup di atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap program ini
sekaligus memberi harapan untuk merealisasikan impian mereka ke MotoGP. ”

“Saya sangat gembira dapat menamatkan Kejohanan SIC MiniGP yang sulung dengan berjaya. Walaupun kita terpaksa membuat beberapa penangguhan kalendar musim 2020 akibat impak COVID-19, namun kami menggunakan kelebihan masa itu untuk pelumba-pelumba berlatih fizikal dan mental, rancangan pemakanan, komunikasi, pendedahan kepada teknik
menunggang serta strategi perlumbaan. Saya harap pelumba-pelumba dapat menggunakan pengalaman dan pengajaran daripada program ini sebaik-sebaiknya. Apa yang saya harapkan supaya kita dapat melahirkan pelumba yang bertaraf dunia yang lebih laju dan disiplin di masa
yang akan datang,” kata Zulfahmi Khairuddin, Pengurus Pasukan ZK Racing.

Program pemilihan kejohanan SIC MiniGP edisi kedua akan dianjurkan pada awal 2021. Untukmaklumat lanjut, sila hubungi SIC MiniGP di sicminigp@zkracing.com.my.