DUGAAN SUKAN PERMOTORAN MALAYSIA SEPANJANG TAHUN 2020

Khamis, 31 Disember 2020 – Setiap tahun, penggiat sukan permotoran negara akan bersiap sedia dengan jentera lumba dua roda dan empat roda bagi merebut kedudukan yang baik dalam saingan perlumbaan tempatan dan antarabangsa. Mengikut perancangan awal, tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia (Visit Malaysia Year 2020) dan negara telah bersiap sedia untuk menerima kehadiran pelancong ke Malaysia juga melalui pelancongan sukan sekaligus untuk membantu menjana ekonomi negara.

Namun begitu, ianya tidak seperti disangkakan. Tahun 2020 merupakan tahun yang penuh dengan dugaan buat arena sukan permotoran tanahair khususnya mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti penganjur kejohananan, rakan kongsi, pihak penaja, atlet sukan permotoran dan sebagainya. Kemunculan wabak pandemik Covid-19 telah memberi impak yang sangat hebat dan hampir satu dunia terkesan. Aktiviti dan acara sukan permotoran tempatan dan antarabangsa terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan.

Antara nadi utama sukan permotoran tempatan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut menerima impak. Aktiviti penyewaan litar iaitu penyumbang utama pendapatan SIC terpaksa dihentikan seketika demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan peserta serta penonton atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pembatalan kejohanan Malaysian Motorcycle Grand Prix (MotoGP™) pada 31 Julai yang lalu merupakan impak terbesar buat SIC. Ini merupakan kali pertama kejohanan berprestij sukan dua roda ini tidak diadakan di Malaysia setelah lebih 20 tahun acara ini berlangsung di SIC. Malaysia telah menjadi penganjur paling lama untuk MotoGP™ di Asia Tenggara sejak tahun
1991. SIC dikenali antara litar paling mencabar di dunia, tidak diragui ia juga sebagai litar kegemaran di kalangan pelumba dan pasukan MotoGP™.

Sepanjang tempoh Covid-19, pintu sempadan negara telah ditutup atas usaha lanjut pihak kerajaan untuk membendung penularan pandemik ini. Ini memberi kesan yang besar lagi buat SIC kerana majoriti penggunaan dan penyewaan litar adalah dari syarikat dan penganjur antarabangsa.

Acara sukan empat roda seperti Asia GT Festival yang dijadualkan pada bulan Mac ditangguhkan kerana pasukan yang terlibat dalam kejohanan ini kebanyakkannya berasal daripada Republik China dan penularan wabak Covid-19 masih lagi berleluasa pada masa itu.

Manakala, kemunculan semula perlumbaan sensasi Super GT selepas 7 tahun tiada dalam kalendar SIC telah dibatalkan. Super GT pernah dianjurkan di SIC dari tahun 2000 hingga 2013 dan perlumbaan ini sangat dinantikan oleh peminat sukan permotoran tempatan.

Perlumbaan tempatan turut terkesan apabila kejohanan tahunan Malaysia Championship Series (MCS) dipendekkan ke 1 pusingan dari 5 pusingan asal. Pusingan khas yang dinamakan Merdeka Race adalah gabungan MCS dan Malaysia Speed Festival (MSF) yang berlangsung pada 29 hingga 30 Ogos yang lalu menyaksikan sebanyak 6 kelas kategori dipertandingkan. Tidak lupa juga kategori paling popular dalam MSF, Piala Saga kembali mencuri tumpuan di SIC. Perlumbaan Merdeka Race berformat “endurance round” sepanjang 300km. Sebelum ini, MCS turut menyaksikan perlumbaan sokongan (support races) seperti Blancpain GT Series Asia, F4 SEA Championship, F3 Asian Championship dan banyak lagi yang memeriahkan sukan
permotoran pada setiap pusingan, namun ini juga terpaksa dibatalkan buat musim 2020.

Manakala perlumbaan dua roda Malaysia Superbike Championship (MSBK) dengan kolaborasi anjuran SIC dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) sempat menjalankan satu pusingan pada 26 hingga 27 September sebelum ditangguhkan ke tahun 2021.

Sepang 1000KM Endurance Race (S1K) edisi ke-12 sepatutnya dilangsungkan pada 27 hingga 29 November juga terpaksa dibatalkan ekoran gelombang kedua pandemik COVID-19 melanda negara. Oleh yang demikian, ia menjurus kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan SOP yang lebih ketat dijalankan untuk sukan permotoran dari pihak kerajaan.

Sebelum penutupan tirai 2020, sukan permotoran Malaysia serba sedikit dapat menarik nafas lega apabila mendapat kelulusan untuk meneruskan aktiviti latihan melalui “Track Day” serta kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia, kejohanan SIC MiniGP dengan mengenakan garis panduan yang ketat dan perlumbaan berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Kejohanan SIC MiniGP yang pada asalnya dijadualkan untuk 5 pusingan dapat melangsungkan pusingan ke-3 dan ke-4 pada 18 hingga 20 Disember dengan objektif untuk mencari pelapis pelumba motorsikal yang boleh dibawa ke kejohanan antarabangsa. Juara keseluruhan Hakim Danish, 13 tahun, berjaya untuk mendapat tempat di Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) pada musim 2021 untuk bersaing di antara pelumba-pelumba dari Jepun, Indonesia dan lain-lain hasil persetujuan di antara SIC dan Dorna Sports S.L iaitu penganjur ATC dan MotoGP™ yang mengiktiraf program akar umbi yang diperkenalkan SIC ini.

Juara kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019, Azlan Shah berkata,”Saya hanya dapat berlumba di ARRC Pusingan 1 sahaja sebelum Covid-19 melanda. Seterusnya saya menjadi bidan terjun sebagai pengulas Cub Prix dan beralih kepada sukan empat roda pertama kali untuk tahun 2020. Dimana pasukan Empire M Racing memberi peluang untuk saya berlumba di Merdeka Race. Saya juga menceburi perusahaan makanan sebagai penghantar makanan bermotosikal. Ini merupakan tahun yang sangat mencabar untuk saya.”

Disamping itu, Zaqhwan Zaidi, Juara kelas MSBK1000 di MSBK Pusingan 1 berkata,”Tahun ini memang jelas perlumbaan (dua roda) kurang. Saya hanya bersaing dalam MSBK dan tidak dapat beraksi di perlumbaan All Japan dan Suzuka 8 Hours. Ianya sukar namun saya terpaksa akur dengan apa yang terjadi. Saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan juga masih lagi mengikuti latihan. Harapan saya agar tahun 2021 akan menjadi lebih baik untuk setiap penggiat sukan permotoran.”

Johan kategori MSF Ultimate (Enduro) di Merdeka Race, Adam Khalid berkata,” Saya sangat gembira dapat kembali ke litar dan berada di podium The Merdeka Race. Pandemik Covid-19 merupakan satu dugaan buat semua. Saya lihat dari sudut positif ianya memberi semangat untuk saya berlatih dan membuat persediaan dengan lebih rapi untuk saingan perlumbaan tahun 2021.”

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, ”Pandemik Covid-19 merupakan sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami di SIC terkesan kerana tidak dapat menganjurkan aktiviti mahupun perlumbaan acara sukan ermotoran mengikut kalendar yang ditetapkan. Namun, SIC berusaha untuk mempelbagaikan kegunaan litar untuk menanggung kerugian lebih 50% berbanding tahun sebelumnya.

Ekoran dari pandemik ini, SIC telah memanfaatkan keadaan dengan membuka fasiliti dan litar untuk kegunaan orang ramai bagi aktiviti riadah seperti aktiviti berbasikal serta membantu atlet-atlet negara untuk menjalani sesi latihan di SIC.

Tambahan beliau,“Segala proses pembaikan, pemulihan dan menaik taraf infrastruktur SIC terpaksa ditangguhkan. Saya harap penggiat sukan permotoran tanah air akan kekal bersatu mengharungi dugaan ini dan akan memandang positif untuk aksi yang lebih baik bagi tahun 2021”.

Untuk tahun yang akan datang, diharap para peminat sukan permotoran negara akan dapat kembali menonton aksi sukan permotoran pilihan mereka di SIC. Sekiranya pandemik Covid-19 dapat dibendung dengan segera, SIC juga tidak sabar untuk menyediakan aktiviti yang lebih menarik untuk peminat sukan permotoran tanahair.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pegawai Kanan Perhubungan Awam & Komunikasi SIC, Akil Mansiz di akil.amin@sepangcircuit.com