LIMA TERPILIH UNTUK PROGRAM ‘IMPIAN KE MOTOGP’ SIC

 5-Pelumba-terpilih.jpg


SEPANG, 16hb Januari 2018- Daripada ratusan yang memohon dan 40 yang gigih mengikuti sesi pemilihan di litar go kart Sepang, program ‘Impian ke MotoGP’ anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akhirnya mengenal pasti lima pelumba muda yang bakal mengisi program berkenaan, yang mana dua daripada mereka berpeluang  beraksi pada Kejuaraan CEV Sepanyol – gelanggang yang diiktiraf sebagai kejuaraan Moto3 remaja dunia.
 
Seorang peserta berusia 13 tahun, antara pelumba yang bertuah di kalangan lima pelumba yang terpilih iaitu Muhamad Harith Haziq Zamri, dan Daniel El Fahim Harris El Hadi, yang berumur 14 tahun. Tiga yang lain berusia 15 tahun – Muhammad Idil Fitri Mahadi, Muhammad Izam Ikmal dan Mohd Danial Syami Ahmad Shahril.
 
Selain bersaing di pentas CEV Sepanyol, dua pelumba terbaik itu akan turut menimba pengalaman bersaing di pentas Asia Road Racing Championship (ARRC) dan juga pada perlumbaan Malaysia Superbike Championship (MSBK) dalam kelas 250cc. 
 
Tiga yang lain akan diletakkan bersaing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
 
“Kelima-lima pelumba muda ini akan menyertai latihan intensif selama dua minggu di bawah kelolaan bekas pelumba Moto3 dan Supersports Dunia, Zulfahmi Khairuddin, yang merupakan tonggak kepada program ini. Latihan itu akan turut disokong oleh bekas pelumba berpengalaman, Ahmad Zamani Baharuddin.
 
“Mereka akan diuji dalam pelbagai aspek termasuk kemahiran menunggang, kecergasan, dedikasi dan komitmen sebelum Fahmi dan Zamani membuat sebarang pemilihan 2 pelumba terbaik kepada SIC yang layak untuk bersaing di perlumbaan dunia CEV.
 
“Kami mahu memilih pelumba yang benar-benar layak kerana program ini melibatkan pelaburan yang amat besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali. 
 
Dipacu dengan azam untuk melahirkan pelumba negara berkelas dunia seperti Zulfahmi, SIC melancarkan program ‘Impian ke MotoGP’ dengan pendaftaran terbuka melalui atas talian (on-line) untuk para pelumba berusia antara 13 hingga 16 tahun pada Disember tahun lepas. Daripada permohonan itu, 40 dipilih untuk sesi ujian pada Sabtu lepas dengan kumpulan itu dikecilkan kepada 26 pada sesi ujian hari terakhir semalam sebelum lima yang terakhir telah terpilih.
 
‘Impian ke MotoGP’ adalah antara inisiatif pembangunan bakat sukan pemotoran negara yang dijalankan oleh SIC, yang mana turut menyaksikan program penyediaan bakat negara dalam sukan empat roda termasuk saingan Perlumbaan Asian Le Mans Series dan kejuaraan TCR Asia Series. 
 
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pegawai Akbar Sepang International Circuit, Nor Lina Ayob di talian 03-8778 2280