Gandingan Negara Hadapi Misi Mustahil Pusingan Akhir Motocross Sepang

13 November 2008, BY Sepang International Circuits
Gandingan Negara Hadapi Misi Mustahil Pusingan Akhir Motocross Sepang
Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM 2009 memasuki pusingan akhir hujung minggu ini di Litar Motocross Sepang dengan gandingan negara – pasangan adik beradik Gaban dan Gabit - menghadapi satu misi mustahil untuk menghalang pelumba New Zealand Larry Stuart Blair menjulang kejuaraan kelas expert musim ini.

“Pada saya, kejuaraan tahun ini sudah pasti menjadi milik Larry. Tidak mungkin saya ataupun Gabit mampu menghalangnya. Itu adalah satu realiti yang terpaksa kami terima,” kata Gaban, atau Mohd Al-Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh, juara keseluruhan pada 2005.

“Bukan saja kerana kami ketinggalan; tetapi Larry sebenarnya pelumba yang amat pantas dan mempunyai tunggangan yang mantap. Susah untuk membayangkan Larry tewas pada pusingan akhir nanti,” kata penunggang Boon Siew Honda Racing itu.

Memasuki pusingan terakhir yang bakal menghidangkan tiga moto dan maksima 75 mata, Blair, yang sudah mengutip 411 mata, kini mendahului Gaban dengan kelebihan 27 mata. Gabit, atau nama penuhnya Mohd Habibullah Mohd Salleh, di tempat ketiga dengan 350 mata dan ketinggalan 61 kepada Blair.

Juara bertahan, Pierre Yves Catry dari Perancis, yang juga juara keseluruhan pada 2006, ketinggalan lebih jauh dengan mengumpul 341 mata untuk menduduki tempat keempat keseluruhan.

“Sasaran lebih realistik bagi saya dan pasukan Boon Siew Honda Racing adalah untuk mengejar kemenangan pada Pusingan 7 nanti. Ia mungkin lebih mudah berbanding dengan pusingan-pusingan lepas kerana Larry pasti mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mencuba habis-habisan untuk mengelakkan kemalangan ataupun terjatuh.

“Larry tidak perlu menang Pusingan 7 untuk muncul juara keseluruhan. Itu akan menjadi sasaran utama beliau; bukannya mengambil risiko habis-habisan untuk menang seperti pada pusingan lepas,” kata Gaban, merujuk kepada saingan sengit Pusingan 6 yang menyaksikan Larry, Gabit dan Gaban memenangi satu moto setiap seorang.

Larry bermula garang dalam saingan yang berlangsung di Litar Motocross Sepang pada 12 Oktober itu untuk mendahului awal dan menepis cabaran kedua-dua beradik itu yang menyaksikan Gabit menamatkan Moto 1 di tempat kedua dengan Gaban di tempat ketiga.

Walaupun mencuba habis-habisan, Larry, bagaimanapun, terpaksa akur kepada semangat dan kesungguhan Gabit pada saingan Moto 2 apabila penunggang muda negara berusia 17 tahun itu mendahului dari awal hingga akhir dengan Gaban di tempat ketiga.

Gabit mendahului saingan Moto 3 sehinggalah tayar belakang jentera Kawasaki KF450 tunggangannya pacit untuk membenarkan Gaban mendahului saingan dan memenangi perlumbaan di hadapan Larry, yang tamat di tempat kedua untuk moto berkenaan tetapi juara keseluruhan Pusingan 6 dengan kutipan 69 mata.

Menunggang untuk pasukan Rani Motorsports Kawasaki, impian Gabit untuk mencipta sejarah memenangi kejuaraan expert pada penampilan pertamanya musim ini hampir pasti tidak kecapaian kerana prestasi cemerlang Larry, yang mewakili pasukan CBK Kawasaki dan menunggang jentera yang sama dengan Gabit.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan saya musim ini. Sememangnya, saya meletakkan sasaran muncul juara keseluruhan; tetapi saya tahu bahawa ia adalah misi yang amat sukar kerana saingan terlalu sengit. Tetapi, saya gembira kerana turut mencatat beberapa kemenangan dan berjaya mengalahkan para pelumba handalan ini,” kata Gabit, juara kelas novis tahun lepas dan kelas junior tiga musim lepas.

Mahkota untuk kejuaraan novis sudah pasti dimiliki oleh Hazlanshah Mohd Noor, yang sudah mengumpul 391 mata dan mempunyai kelebihan 61 mata ke atas pencabar terdekat Mohd Faiz Embok Chenig dengan 330 mata. Mohd Khairi Zakaria agak jauh ketinggalan di tempat ketiga keseluruhan dengan 229 mata.

Begitu juga untuk saingan jentera trailbike di mana penunggang muda dari Kuala Ketil, Kedah, Ahmad Nasaie Najmi, yang telah memenangi kesemua empat pusingan dan 12 moto sebelum ini, dijangka dinobatkan sebagai juara baru 2008. Mengumpul 372 mata, Ahmad Nasaie memiliki kelebihan 35 mata ke atas pencabar terdekat, Sahrinnizam Abu Bakar.

Bekas juara kebangsaan sebanyak 10 kali, M. Chandran, yang kembali aktif di litar saingan selepas beberapa tahun menyepikan diri, berpeluang cerah untuk menambah satu lagi kejuaraan pada Ahad nanti. Mengumpul 363 mata, Chandran kini mendahului saingan kelas veteran dengan kelebihan 12 mata ke atas pencabar terdekat, Kan Yin Heng, yang mempunyai 351 mata. Chris Sullivan menduduki tempat ketiga dengan 315 mata.

Saingan kelas junior pula terbuka luas dengan tiga pelumba teratas hanya dipisahkan dengan lima mata. Muhamad Firdaus Ishak mendahului kejuaraan dengan 350 dengan kelebihan hanya satu mata ke atas Faizuddin Naim Ishak. Adik Firdaus, Muhammad Alif pula di tempat ketiga dengan 345 mata.

Para pelumba akan menjalani sesi ujian bebas pada hari Sabtu (15 November) sebelum bertarung dalam tiga moto pada keesokan harinya pada 16 November bagi menyempurnakan saingan musim 2009.

KEJUARAAN MOTOCROSS MALAYSIA SIC-AAM 2008
Kedudukan mata selepas 6 pusingan
Tempat Nama Mata
Kelas Expert
1 Larry Stuart Blair (Kawasaki)
411
2 Mohd Al-Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh (Honda)  384
3 Mohd Habibullah Mohd Salleh (Kawasaki) 350
4 Pierre-Yves Catry (Yamaha) 341
5 Mohd Fariq Bachok (Yamaha) 283
Kelas Novis
1 Hazlanshah Mohd Noor (Kawasaki)  
391
2 Mohd Faiz Bachok (Honda) 330
3 Mohd Khairi Zakaria (Kawasaki) 229
4 Ahmad Nasaie Najmi (Honda) 225
5 Mohd Faizol Fuad Sallehan (Kawasaki) 218
Kelas Veteran
1 M. Chandran (Honda) 363
2 Kan Ying Heng (Yamaha) 351
3 Chris Sullivan (Honda) 315
4 J. Jegathesan (Kawasaki)  298
5 Peter Grinsted (KTM)   249
Kelas Trailbike
1 Ahmad Nasaie Najmi (Honda) 372
2 Sahrinnizam Abu Bakar (Honda) 337
3 Mohamad Nooriman Sapari (Kawasaki) 305
4 Muhammad Khaidir Sirat (Kawasaki)     285
5 Mohamad Firdaus Agos Mawardi (Kawasaki) 222
Kelas Junior
1 Muhammad Firdaus Ishak (Kawasaki) 350
2 Faizuddin Naim Ishak (Kawasaki) 349
3 Mohammad Alif Ishak (Kawasaki) 345
4 Mohamad Fadzli Embok Chenig (Honda)   299
5 Muhammad Akhmal Mohd Jais (Kawasaki)   207

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Akhbar SIC Azhar Ghazali di 019 383 7865



For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top