07 August 2010, BY Sepang International Circuits
Membuat penampilan sulung dalam perlumbaan Merdeka Millennium Endurance Race (MMER), pelumba negara Fairuz Fauzypercaya beliau mempunyai gandingan sempurna untuk muncul juara pada edisi ke 11 saingan lasak 12 jam di Litar Sepang.
Bergandingan dengan adiknya, Farriz, yang juga bekas juara keseluruhan tahun 2004, dan rakan karib mereka, Rizal Ashram Ramli – seorang bekas pelumba Formula 3 British, Fairuz berkata segala persiapan mereka berjalan lancar dan jentera Aston Martin pacuan mereka mempamerkan prestasi memberangsangkan.
Bersaing dalam kelas Sports Production, Fairuz malahan mengaku turut mengintai peluang untuk mencabar pasukan yang bersaing kategori lebih tinggi dalam kelas GT untuk memenangai kejuaraan keseluruhan.
“Kami bukan saja berazam untukmemasang cabaran kuat dalam kelas kami; tetapi juga terhadap ‘abang-abang’ kami dalam kelas GT,” kata Fairuz ketika mengulas tentang pendekatan beliau dan pasukan MOFAZ Racing pada saingan MMER 2010.
Edisi ke 11 MMER akan bermula tengah malam ini di Litar Sepang dengan para pelumba dilepaskan oleh Ratu Malaysia Miss World Thanuja Anandthan. Disertai oleh 36 kereta, ia akan berakhir pada jam 12 tengahari esok.
Pada sesi kelayakan semalam, MOFAZ Racing mencatat masa terpantas di kalangan mereka yang bertanding dalam kelas Sports Production. Secara keseluruhan, catatan gabungan masa 7 minit 8.56 saat mereka, bagaimanapun, sekadar meletakkan mereka di petak ke 14 dalam grid permulaan.
Tiga belas tempat teratas diisi oleh jentera-jentera garang yang bersaing dalam kelas GT dengan petak pertama diisi oleh pasukan Porsche Club Singapore Racing, yang menggunakan jentera Porsche RSR. Mengiringi mereka di barisan pertama adalah pasukan Arrows Racing, yang menggunakan jentera Lamborghini LP560.
Menurut Fairuz, empat jam pertama saingan akan menjadi tempoh penting bagi semua pasukan dalam menentukan strategi dan beliau berharap semua pasukan akan melepasi tempoh berkenaan dengan baik tanpa masalah khususnya bagi pasukannya sendiri.
“Kalau anda tanya saya, saya harap semua 36 kereta akan dapat menamatkan perlumbaan sehingga kepada ‘chequered flag’. Itu pastinya amat menyeronokkan,” kata Fairuz, yang percaya pengurusan penggunaan tayar akan menjadi kunci kepada kejayaan pasukan tahun ini.
Untuk pertama kali dalam sejarah 11 tahun MMER, penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) memilih Pirelli sebagai pembekal tayar rasmi untuk saingan musim ini.
Kata Fairuz: “Segalanya baik setakat ini … dan, saya dan rakan-rakan pasukan lain cukup yakin untuk mengibarkan perjuangan. Kami mempunyai pakej yang sempurna … sebenarnya, saya memang mahu menyertai perlumbaan MMER ini setiap tahun.
“Tetapi, ia sentiasa bertindih dengan jadual perlumbaan saya yang lain,” kata Fairuz, yang sebelum ini pernah bersaing dalam World Series by Renault, A1GP, siri GP2, GP2 Asia, Formula Ford dan juga F3 Britain.
Bagi Rizal, yang sentiasa bernasib malang dalam saingan MMER yang lepas, edisi ke 11 MMER ini menjanjikan sesuatu berbeza termasuklah catatan petak pertama pertama buat dirinya.
“Perlumbaan-perlumbaan lepas saya dalam MMER ini sememangnya kurang memberangsangkan. Semuanya berakhir dengan DNF (tidak menghabiskan perlumbaan). Tahun ini, nampak berbeza dan saya cukup yakin dengan kemampuan pasukan ini dan saya gembira untuk berganding dengan Fairuz dan Farriz.
“Mereka adalah pelumba-pelumba handalan,” kata Rizal, yang juga kaya dengan pengalaman berlumba di pentas antarabangsa termasuk siri kejuaraan Porsche Carrera Cup Asia, kejuaraan F3 Eropah, F3 Jerman dan F3 Britain.
Berbeza dengan Fairuz dan Rizal, kejayaan dalam MMER adalah sesuatu yang kerap dikecapi oleh Farriz – juara keseluruhan pada 2004 dan juara kelas A tiga kali pada 2004, 2006 dan 2006 bersama-sama dengan Honda Malaysia Racing Team.
“Saya gembira perlumbaan ini kembali bermula pada tengah malam. Bukan saja keadaan berlumba lebih baik, ia juga akan memberi kurang tekanan kepada tayar.
“Seperti yang dikatakan oleh Fairuz dan Rizal, saya juga cukup yakin dan gembira untuk bergandingan dengan mereka untuk mengejar kemenangan pertama untuk MOFAZ Racing dalam saingan MMER ini,” kata Farriz
Mengulas cabaran pasukan MOFAZ Racing, Pengarah Teknikal Alex Somerset berkata: “Para pemandu bertindak cemerlang mengikut apa yang kami putuskan semasa menyusun strategi dan mereka berjaya mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan.
Pada masa yang sama, kami juga berterima kasih kepada krew pasukan yang menunjukkan tahap dedikasi yang tinggi; bekerja 18 jam sehari sejak dua bulan lepas. Bukan saja untuk menyiapkan jentera Aston Martin GT kami; tetapi juga tugas harian mereka menjaga dan menyelia kereta-kereta lumba Formula BMW kami. Mereka sewajarnya mendapat pujian,” katanya.