Ariff Jadikan Kejayaan Casey Stoner Sebagai Inspirasi

09 May 2008, BY Sepang International Circuit
Ariff Jadikan Kejayaan Casey Stoner Sebagai Inspirasi
Berbekalkan motosikal sewa, bekas pelumba Speedway Malaysia Mohd Ariff Mohd Ali menerokai dunia sukan lumba motosikal baru di Litar Motocross Lembah Tempurung di Gopeng, Perak hujung minggu ini dengan harapan membuka mata para penaja terhadap bakat dan keupayaan beliau pada Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM 2008.

“Secara kompetitif, memang saya tidak berlumba motocross. Saya pernah lumba trek, lumba drift motosikal, lumba Speedway tahun lepas tetapi lumba motocross belum pernah cuba. Tetapi, saya biasalah bawa motosikal lasak ini ketika bekerja di kebun kelapa sawit bapa saya,” kata pemuda berusia 22 tahun dari Duyung, Melaka.
 
Kini bekerja sebagai attendan hospital di Pusat Perubatan Mahkota di Melaka, Ariff mengakui bahawa lumba motosikal di pentas antarabangsa adalah impian beliau. Impiannya itu, bagaimanapun, tersekat kerana faktor kewangan khususnya kesukaran mendapat penaja.

“Saya benar-benar teruja dengan kisah hidup Casey Stoner. Ibubapanya menjual rumah dan tanah di Australia dan hidup dalam ‘motorhome’ di Eropah dan bersama-sama di litar lumba untuk menyokong minat dan impian anaknya untuk menjadi juara dunia. Dan, berkat usaha gigih dan keyakinan mereka, kini mereka hidup mewah.

“Saya tak tahu sama ada itu boleh dilakukan di Malaysia. Tentunya, saya tidak akan suruh emak dan ayah saya jual tanah dan rumah untuk saya lumba motosikal. Tetapi, saya gembira mendapat sokongan mereka dan saya sendiri gembira dapat menggembirakan mereka apabila menang dalam speedway tahun lepas,” kata Ariff, yang mendapat tempat ketiga keseluruhan pada kejuaraan sulung Speedway Malaysia dan keenam keseluruhan pada kejuaraan pertama Speedway Antarabangsa Malaysia anjuran Majlis Kecergasan Malaysia (NFC).
 
“Saya lihat prestasi dan kejayaan di speedway sebagai satu isyarat untuk saya terus mencuba nasib dalam sukan lumba motosikal ini. Saya bertuah kerana ramai yang dapat membantu dan menyokong usaha saya khususnya Mahkota Medical Centre, tempat saya bekerja … mereka tiada halangan dan memberi kelonggaran untuk saya ambil cuti untuk berlumba.
 
“Paling terharu bagi saya masa berlumba Speedway adalah apabila mendapat sumbangan peribadi RM1,000 daripada Ketua Pengarah MSN. Dia tidak kenal saya; tetapi saya yakin dia boleh lihat kesungguhan dan kesukaran saya untuk mendapatkan penajaan; lalu dia menghulurkan sumbangan dan memberikan saya kata-kata semangat untuk terus maju di dalam bidang ini,” kata Ariff, yang terus menyimpan harapan untuk berlumba di gelanggang speedway antarabangsa.

Usaha awal beliau untuk memasuki klinik latihan dan kejuaraan Speedway di Australia menemui jalan buntu apabila beliau dikehendaki membuat pembayaran awal dan menguruskan perbelanjaan pengangkutan dan tempat tinggal sendiri.

“Selain daripada beberapa individu yang rapat dengan saya, tiada pihak lain yang bersedia menyalurkan kewangan mahupun khidmat nasihat secara jelas. Namun, saya akan tetap berusaha; kerana saya yakin dengan impian saya dan kemampuan saya dalam sukan lumba motosikal khususnya lumba speedway ini. Masalah sekarang ialah kejuaraan speedway tahun ni masih belum pasti. Jadi, saya cuba alternatif lain dan saya akan cuba bersaing dalam sukan motocross ini sementara menunggu kejuaraan speedway bermula tahun ini,” kata Ariff.

Dengan tajaan daripada Yayasan Melaka dan Sahabat Belia Melaka serta wang sendiri, Ariff kini melakar rancangan untuk bersaing dalam kelas trailbike sebagai langkah permulaan untuk mencipta nama dalam sukan motocross.

“Kalau ikutkan hati, memanglah hendak berlumba dalam cubprix atau Malaysian Super Series. Itu memang pentas ideal; tetapi terus terang, saya cakap bahawa ia memerlukan belanja yang amat besar. Kalau kecil-kecil, memang akan makan asap. Tiada peluang masuk. Saya pernah lumba cub prix sebagai ‘privateer’ … memang kena tinggal jauh. MSS tidak pernah cuba; tapi saya yakin juga bahawa hanya pasukan-pasukan besar yang akan sapu pelumba-pelumba lain. Bukan saya tidak pernah lumba kat litar Ada, tapi memang kena bajet besar,” tambah beliau.

“Saya benar-benar ‘respect’ Yayasan Melaka yang tampil untuk membantu saya. Saya dengar dulu mereka ada tolong seorang pelumba cub prix dari Melaka … jadi saya terus cuba nasib, hantar ‘proposal’. Mungkin kerana saya anak Melaka, mereka cakap nak tolong saya. Jadi, saya sangat-sangat berterima kasih. Buat permulaan, mereka memberi sumbangan RM3,000. Sahabat Belia Melaka janji lagi RM1,000. Memang, tak cukup. Jadi, saya terpaksa sewa motosikal member untuk berlumba di Gopeng ini. Kira-kira gaji saya bulan ni, habislah beli barang ‘spare part’ motor dan barang lumba,” kata Ariff, yang secara terbuka mengakui bahawa beliau akan menghadapi saingan yang sukar di Litar Motocross Lembah Tempurung ini. 

Menurut beliau, Yayasan Melaka dan Sahabat Belia Melaka akan menambah wang penajaan mereka berdasarkan keperluan dan prestasi. “Kerana itu, saya perlu memastikan keputusan yang baik di Gopeng nanti. Saya tahu ianya susah; kerana saya sudah lihat para pelumba yang bertanding dan jentera,” kata Ariff.

Dengan jentera Suzuki DR200 yang disewanya, Ariff berkata beliau tiada pilihan untuk hanya bertanding dalam kategori trailbike. “Kategori motocross akan  memerlukan jentera motosikal yang jauh lebih baik … baru boleh lawan,” katanya.

Dalam saingan kelas trailbike ini, Ariff akan menghadapi saingan daripada pelumba muda Mohamad Nooriman Sapari, yang cemerlang pada saingan Pusingan 1 di Litar Motocross Sepang dengan memenangi ketiga-tiga moto.

“Saya tengok dia (Nooriman) kat Sepang. Memang dia sangat bagus. Motosikal yang dia pakai pun hebat. Tetapi, saya akan cuba berikan yang terbaik. Harap-harap boleh dapat podium,” tambah Ariff.

Saingan Pusingan 2 Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM akan bermula dengan sesi latihan bebas di Litar Motocross Lembah Tempurung petang esok. Perlumbaan akan berlangsung dalam tiga moto pada hari Ahad untuk semua kategori – trailbike, expert, novis, junior, veteran, minibike dan cubcross.



For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top