Mohd Ariff Dapat Jentera Dan Keyakinan Baru Untuk Saingan Di Juru

04 June 2008, BY Sepang International Circuit
Mohd Ariff Dapat Jentera Dan Keyakinan Baru Untuk Saingan Di Juru
Melaka, Rabu: Berbekalkan pengalaman penampilan sulung pada Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM bulan lepas, pelumba Yayasan Melaka Mohd Ariff Mohd Ali berazam untuk beraksi dengan lebih garang pada saingan Pusingan 3 di Litar Motocross Juru, Seberang Prai hujung minggu ini khususnya dengan memiliki jentera baru empat lejang Yamaha WR250F.

“Saya yakin dapat menghasilkan keputusan lebih baik di Juru nanti. Bukan saja kerana saya sudah ada pengalaman berlumba ‘trailbike’ ini. Lebih penting lagi, saya kini mampu memiliki motosikal yang hampir setaraf dengan para pelumba lain,” kata Ariff, yang berlumba di dalam kelas ‘trailbike’   buat pertama kali di Litar Motocross Lembah Tempurung, Gopeng pada saingan Pusingan 2 dengan motosikal sewa Suzuki DR200.



Bersaing dengan 11 pelumba lain dalam kelas ‘trailbike’, Ariff menamatkan saingan Pusingan 2 di tempat kelapan keseluruhan, sekaligus memikat perhatian para pelumba lain kerana jentera yang digunakan oleh beliau jauh ketinggalan dari segi prestasi, kuasa dan jauh lebih berat daripada motosikal yang digunakan oleh lawan-lawan beliau.  

“Memang sudah dijangkakan saya tidak mampu bersaing dengan pelumba-pelumba lain di Gopeng. Tetapi, saingan di Litar Juru pasti berbeza. Saya akan menggunakan wang tajaan yang diterima hari ini untuk membeli sebuah jentera yang mantap dan saya benar-benar berterima kasih kepada Yayasan Melaka dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali bin Rustam yang bertanggungjawab untuk mendapatkan penajaan motosikal ini.

“Saya berjanji akan membalas kepercayaan mereka dengan menaikkan nama Melaka pada siri kejuaraan ini dan dalam sukan motocross,” kata Ariff pada majlis penerimaan tajaan Yayasan Melaka itu daripada Ketua Menteri Datuk Ali Rustam di kediaman rasmi beliau di Melaka hari ini.

Tajaan sebanyak RM15,000 itu merupakan yang kedua dan terbesar oleh Yayasan Melaka selepas pihak tersebut menghulurkan sumbangan RM3000 untuk menampung kos perlumbaan bagi Pusingan 2 bulan lepas.

Berasal dari Duyung, Melaka, bekas pelumba Speedway Malaysia ini membuat keputusan bersaing dalam sukan motocross sementara menunggu bermulanya musim baru Kejuaraan Speedway Malaysia, yang dijangka bermula September ini.

“Dengan adanya jentera motocross ini dan juga sokongan padu daripada Yayasan Melaka, saya sudah membuat keputusan untuk berlumba pada kedua-dua kejuaraan – ‘trailbike’ dan speedway untuk menaikkan nama negeri Melaka.

 Kejuaraan Motocross Malaysia AAM-SIC 2008 mempertandingkan kategori trail bike dan motocross untuk kelas expert, novis, veteran dan junior, manakala kategori cubcross dan mini bike pula untuk pelumba-pelumba remaja.

“Saya harap dengan usaha saya ini akan menggalakkan lebih ramai lagi anak muda dari negeri Melaka ini untuk tampil ke hadapan dan berlumba pada kejuaraan-kejuaraan sukan bermotor ini. Sekarang ini, tidak ramai pelumba Melaka – baik dalam cub prix, motocross, “drag race’ dan juga speedway,” kata Ariff.

Kini bekerja sebagai pembantu juruteknik di Pusat Perubatan Mahkota di Melaka, Ariff mengakui bahawa lumba motosikal di pentas antarabangsa adalah impian beliau. Impiannya itu, bagaimanapun, tersekat kerana faktor kewangan khususnya kesukaran mendapat penaja.

“Saya benar-benar teruja dengan kisah hidup Casey Stoner. Ibubapanya menjual rumah dan tanah di Australia dan hidup dalam ‘motorhome’ di Eropah dan bersama-sama di litar lumba untuk menyokong minat dan impian anaknya untuk menjadi juara dunia. Dan, berkat usaha gigih dan keyakinan mereka, kini mereka hidup mewah.

“Saya tak tahu sama ada itu boleh dilakukan di Malaysia. Tentunya, saya tidak akan suruh emak dan ayah saya jual tanah dan rumah untuk saya lumba motosikal. Tetapi, saya gembira mendapat sokongan mereka dan saya sendiri gembira dapat menggembirakan mereka apabila menang dalam speedway tahun lepas,” kata Ariff, yang mendapat tempat ketiga keseluruhan pada kejuaraan sulung Speedway Malaysia dan keenam keseluruhan pada kejuaraan pertama Speedway Antarabangsa Malaysia tahun lepas.

“Saya lihat prestasi dan kejayaan di speedway sebagai satu isyarat untuk saya terus mencuba nasib dalam sukan lumba motosikal ini. Saya bertuah kerana ramai yang dapat membantu dan menyokong usaha saya khususnya Mahkota Medical Centre, tempat saya bekerja mereka tiada halangan dan memberi kelonggaran untuk saya ambil cuti untuk berlumba.

Usaha awal beliau untuk memasuki klinik latihan dan kejuaraan Speedway di Australia menemui jalan buntu apabila beliau dikehendaki membuat pembayaran awal dan menguruskan perbelanjaan pengangkutan dan tempat tinggal sendiri.

“Selain daripada beberapa individu yang rapat dengan saya, tiada pihak lain yang bersedia menyalurkan kewangan mahupun khidmat nasihat secara jelas. Namun, saya akan tetap berusaha; kerana saya yakin dengan impian saya dan kemampuan saya dalam sukan lumba motosikal khususnya lumba speedway ini,” tambah beliau.

Sementara menanti kembalinya kejuaraan speedway, Ariff berazam untuk mencipta impak dalam sukan motocross sekali gus membayar balik keyakinan Datuk Mohd Ali, Yayasan Melaka dan para penyokongnya yang lain di Melaka.

Untuk saingan Pusingan 3 di Litar Motocross Juru ini, para pelumba akan menjalani sesi ujian bebas pada hari Sabtu (7 Jun) sebelum bertarung dalam tiga moto pada hari Ahad (8 Jun) bagi menentukan juara pusingan.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Menteri Melaka itu berharap Ariff akan menggunakan kesempatan yang dimilikinya sebaik mungkin untuk merangsang lebih ramai lagi anak-anak muda Melaka untuk berlumba secara kompetitif dan di landasan yang betul.

“Saya harap Ariff akan menjadi sebagai ‘role model’ kepada golongan remaja dan belia dari negeri ini supaya tidak berlumba haram dan berlumba di litar dan tempat lumba yang betul, Saya harap usaha Ariff ini akan menjadi perangsang kepada generasi muda lain,” katanya.

Datuk Mohd Ali juga mahu Ariff menerajui pembangunan sukan motocross di negeri Melaka dan mengemukakan kertas cadangan untuk membina sebuah litar motocross di negeri itu bagi mengembangkan lagi sukan berkenaan.



For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top