Makan Durian, Berhibur dan Tengok Lumba Kereta di Litar Sepang Esok

07 August 2009, BY Sepang Circuits
Menghidangkan pesta durian dan buah tempatan percuma, eksplorasi jentera-jentera besar untuk kanak-kanak, persembahan artis dan hiburan serta perlumbaan kereta terbesar Asia Tenggara untuk para peminat sukan pemotoran, edisi ke 10 acara perlumbaan 12 jam Merdeka Millennium Endurance Race (MMER), yang bakal berlangsung esok (Sabtu, 8 Ogos) di Litar Sepang menjanjikan pengalaman sensasi untuk seisi keluarga.

“Sebenarnya, bersempena dengan edisi ke 10 MMER tahun ini, kami menyuntik elemen-elemen baru di samping mengembalikan elemen-elemen keseronokan lampau seperti acara ‘endurian’ yang cukup popular pada tahun 2004 dulu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Ahmad Razlan Ahmad Razali.

“Ramai yang meminta kami adakan kembali acara ‘endurian’ atau ‘endurance makan durian” ini. Jadi, bertepatan dengan edisi ke 10, kami adakannya semula – makan durian dengan percuma di samping banyak buah-buah tempatan lain.

“Eksplorasi jentera-jentera besar ini pula adalah peluang untuk kanak-kanak mengenali dengan lebih dekat lori-lori yang mereka biasa lihat di jalanraya – ‘tanker’ minyak, kereta bomba. Kita juga akan bawa pelbagai model kereta dan motosikal yang digunakan oleh polis dan anggota tentera.

“Kanak-kanak bukan sahaja akan berpeluang memegang jentera-jentera ini; tetapi juga melihat keadaan lori-lori ini daripada dalam. Tentunya, sesuatu yang tidak boleh dilakukan setiap hari,” kata Ahmad Razlan dalam satu kenyataan hari ini..

Diperkenalkan pada tahun 2000, acara MMER dianjur dan dipromosikan oleh SIC sebagai satu usaha untuk merancakkan sukan pemotoran negara, menanam minat di kalangan orang awan terhadap sukan berkenaan di samping memberi peluang kepada para pelumba tempatan bersaing dengan yang terbaik di dunia dalam satu perlumbaan lasak 12 jam.

Tambah beliau: “Saingan di litar juga berubah untuk perlumbaan kali ini kerana untuk pertama kalinya, yang bakal bertarung adalah kereta-kereta berkuasa tinggi, lebih daripada 1900cc. Sekali gus, ia bakal menjanjikan saingan yang lebih sengit dan menyeronokkan untuk penonton.”

Berbeza dengan edisi-edisi lepas, saingan di litar untuk acara MMER 2009 dibahagikan kepada tiga kategori di mana kelas A2 adalah untuk kereta ‘production’ 1900cc ke atas seperti Honda Integra DC5; kelas A1 untuk kereta ‘sports’ seperti jentera Honda S2000, Lotus and Aston Martin manakala jentera-jentera yang telah diubahsuai untuk perlumbaan diletakkan dalam kategori ‘open’ atau ‘terbuka’.

Paling menyerlah pada edisi kali ini pastinya ialah kembalinya bintang muda sensasi negara Jazeman Jaafar, yang mencipta sejarah pada tahun 2007 untuk menjadi pelumba termuda untuk menyertai perlumbaan ini.

“Bukan saja Jazeman, para pelumba handalan negara yang lain akan turut bertanding; seperti bekas pelumba F1 Alex Yoong, Fairuz Fauzi, juara ATCS Asia 2007 Fariqe Hairuman dan Eric Yeo, pelumba A1GP Malaysia Aaron Lim, Eddie Lew, Boy Wong, Lai Wee Sing, Firhat Mokhzani dan juga Datuk Mokhzani Mahathir sendiri.

“Mereka akan bertarung dengan nama-nama besar dalam sukan pemotoran seperti pelumba WTCC Tom Coronel and Franz Engstler, juara-juara Porsche Cup seperti Tim Sugden dan Daryl O’ Young serta Melvin Choo dari Singapura dan pelumba Jepun Masaki Kano, yang bersaing dalam pusingan-pusingan tertentu saingan WTCC musim ini.

“Tahun ini, kita juga akan menyaksikan jaguh-jaguh dari Australia seperti gandingan anak beranak Des dan David Wall serta Christian Jones – anak kepada juara dunia F1 Alan Jones. Para peminat juga berpeluang melihat aksi Raja Drift Manabu Orido dan Masataka Yanagida, yang akan mewakili pasukan Petronas,” kata Ahmad Razlan.

Hari ini, para pelumba akan mengharungi sesi kelayakan bagi menentukan kedudukan grid di mana 15 kereta akan bersaing dalam kelas terbuka, 10 dalam kelas A1 dan 19 dalam kelas A2. Perlumbaan akan berlangsung esok dengan para pelumba dilepaskan tepat pada pukul 11.30 pagi dengan acara-acara luar litar bermula daripada 12 tengahari sehingga berakhir perlumbaan pada 11.30 malam.

“Kemuncak kepada acara MMER malam itu adalah pertunjukan bunga api, yang akan diadakan pada jam 12 malam. Masuk adalah percuma dan saya harap orang ramai akan datang beramai-ramai ke Litar Sepang esok untuk memeriahkan acara ini dan sambutan awal Perayaan Kemerdekaan tahun ini,” kata Ahmad Razali.


For ticket reservation, please call +603-8778 2222 OR visit our ticket agents, else click here to purchase your ticket online now!

back to top