28 June 2012, BY Sepang International Circuit
Penunggang sensasi Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bakal meneruskan misinya di perlumbaan ketujuh MotoGP di Litar Assen yang bakal berlangsung pada Sabtu ini, 30 Jun.
Penunggang AirAsia-SIC-Ajo itu yang kini berada di kedudukan ketujuh dunia turut berkongsi 44 mata bersama Alex Rins, penunggang untuk pasukan Estrella Galicia yang berada di tangga keenam.
Zulfahmi yang nyata kurang berpuas hati dengan prestasi jenteranya selepas berada di tempat kesembilan dan mengutip 7 mata di Litar Silverstone minggu lalu kini bersiap sedia untuk berdepan dengan saingan di Litar Assen hujung minggu ini.
Perlumbaan ketujuh MotoGP tersebut nyata menjadi medan untuk beliau merealisasikan impian mencari podium pertama selepas berjaya mencatatkan keputusan cemerlang di Litar Estoril Mei lepas.
Ketika dihubungi Zulfahmi berkata, “Saya amat berharap cuaca di Assen membantu saya untuk mencatatkan masa yang lebih baik seterusnya membolehkan saya berada di kedudukan lima penunggang terbaik.”
“Saya mengharapkan doa serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan-rakan dan para penyokong saya di Malaysia. Terima kasih kerana anda semua tidak putus-putus menyokong saya,” tambah Zulfahmi lagi.
Menurut Datuk Razlan Razali yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang berkata sokongan penuh sentiasa diberikan kepada penunggang muda itu untuk terus melakar nama di arena MotoGP.
“Melihat kepada prestasi Zulfahmi yang semakin memberangsangkan di dalam setiap perlumbaan, berada di kedudukan podium adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk beliau. Sokongan serta semangat yang berterusan daripada semua pihak amat membantu Fahmi bagi menaikkan semangatnya untuk mencapai kedudukan teratas,” kata Razlan.
Jelas Razlan lagi, beliau tidak mahu terus memberikan tekanan kepada Zulfahmi untuk mengejar kedudukan podium kerana apa yang lebih penting adalah supaya sentiasa fokus di dalam setiap perlumbaan.
“Tanggungjawab yang digalas oleh Fahmi adalah besar kerana beliau membawa bersama harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihat beliau berada di kedudukan teratas. Jadi untuk mencapai misi tersebut beliau perlu sentiasa fokus dan bersedia pada setiap perlumbaan,” tegas Razlan.
Zulfahmi kini telah mengutip 44 mata sepanjang enam perlumbaan MotoGP pada musim ini. Beliau akan berlumba di Litar Assen pada Sabtu ini bagi meneruskan misi untuk mencapai kedudukan teratas.